Tuesday 27 November 2012

Tria



"Assalamualaikum, Aniq free harini?". Tenang suara di hujung talian sana bertanya.
"Kalau free kenapa?"

*****

Tria kelihatan gembira. Kami bertukar-tukar cerita hari-hari yang kami masing-masing jalani. Kerja, hal di tempat kerja, cuaca.. Tiada lagi hal 'jangan buat muka comel please' atau 'sayang, rambut u dah panjang'. Perbualan yang rancak tadi menjadi sepi beberapa ketika dan kami seakan-akan sepakat menyanyikan korus Mungkin Nanti dendangan Peter Pan. Entah apa yang ada di fikiran masing-masing. Jelas kelihatan kami cuba untuk tidak membicarakan hal-hal yang mungkin mematikan mood cuti kami. Aku curi-curi toleh ke kiri, Tria memandang ke luar tingkap. Jauh betul pandangannya. Dia yang selalunya membuat pelbagai mimik muka, dia yang selalu pura-pura merajuk meminta perhatian agar dipujuk, dia yang biasanya melompat-lompat girang di sebelahku, kini hanya membisu dan sesekali menoleh ke arahku dengan wajah yang diam tanpa bicara.

"Aniq, u sayang Tria tak?" Tria tiba-tiba berbicara memecah kesunyian.

Aku menoleh ke kanan, kereta yang kami naiki baru sahaja dipintas oleh sebuah kereta jenis Volkswagen lama berwarna putih susu dan plet "Happily Married" yang tertera di belakangnya. Aku toleh ke kiri.

"Sayang"

"Kalau sayang kenapa u tinggalkan Tria?" 

Wajah gadis di sebelahku sugul, penuh pengharapan dan tanda tanya. Masakan aku tidak sayang pada gadis ini yang selalu meniupkan kata-kata semangat buatku, peminjam bahu bagi keluh kesahku disaat seluruh dunia menafikan kehadiranku, peneman dikala sunyiku.

"Tria, it's been 4 months dan kita janji taknak ungkit cerita lama kan? Aniq keluar dengan Tria ni pun sebab Tria kata Tria bosan dan janji taknak sebut hal yang lepas." Aku terpaksa bertegas.

"But it's weird Aniq. You're not seeing anyone, takde girlfriend lain so tak ada sebab u buat Tria macam ni. I still think that it's unfair".

Aku mematikan enjin kereta.

"Dah sampai. Jom".
"Kita buat apa kat sini?"
"Tria kata nak jalan-jalan, jomla jalan".

Tria menggeleng kepala perlahan tanda tidak mahu. Wajahnya muram.

"Terlalu banyak kenangan kat sini", katanya perlahan sambil merenung ke bawah.

"Tria, kadang-kadang kita perlu hadap perkara yang paling menakutkan kita untuk menjadi lebih berani. Kenangan itu untuk dilupakan, bukan untuk dikenang Tria. Kita mesti terus berjalan". Aku cuba memujuk Tria.

"Tahu apa ada kat depan sana?" Aku menunjuk ke arah hadapan.

"Ada badut main bola warna warni?", Tria sedikit melonjak dengan wajah yang gembira selalunya dia. Namun kembali muram seberapa ketika lantas menggeleng kepala.

Aku senyum dan cuba meyakinkan Tria, "Sebab tu kita harus terus berjalan. Kalau kita berdiri kat sini je, kita takkan ke mana-mana dan sia-sialah perjalan kita tadi".
Tria hanya diam membisu.

"Tria tunggu sini kejap, Aniq nak ke surau tu".

Tria cuma mengangguk.
"Tak sekali?"
"Tak, uzur."

*****

Aku sengaja berjalan laju, meninggalkan Tria 3 meter di belakang. Tiada lagi langkah beriringan, tiada lagi tangan halus yang merangkul lenganku. Aku mahu melihatnya lebih berdikari biarpun setelah aku tiada di sisi. Sesekali aku melirik ke belakang, untuk tidak kehilangannya dari pandangan. Sedih juga hati ini melihat Tria yang kelihatan tergesa-gesa sewaktu berjalan dan bertembung dengan pejalan kaki dari arah bertentangan. Gadis ini sangat naif, sangat fragile, sangat halus jiwanya biar kelihatan luarannya tenang dan teguh. 

"Kalau kawan Aniq sakitkan hati Aniq, kasitau Tria. Biar Tria tumbuk diaorang". Teringat sewaktu aku menceritakan kepada Tria gurauan rakan sekerja sewaktu hari lahirku.
"Eleh tangan kecik je macam tangan adik i hahaha".
"Ala u ni!" Tria mencubitku dan kami ketawa bersama-sama. Kini semuanya dalam lipatan sejarah.

Aku memperlahankan sedikit langkahku, membiarkan Tria membuntutiku dalam jarak dekat.
"Masuk kedai sana kejap". Aku menunjuk ke arah kedai di seberang jalan. Tria hanya mengikuti langkahku. Tria memberi isyarat untuk hanya tunggu di luar. Aku mengangguk dan terus ke dalam kedai. 5 minit selepas itu aku keluar semula.

"Tak adalah"
"Aniq cari apa?"
"Keropok durian"
"Kita try kedai lainlah kalau gitu?"
"Takpelah, lain kali je. Lagipun kedai ni je yang jual keropok durian yang kita tengok haritu kan?"
"Takpelah, next time kalau Tria datang sini Tria belikan u ye?"
"Takpelah, it's okay. Tria taknak beli apa-apa?"
Tria geleng kepala.

"Tria nak beli payung".

Titik-titik hujan mulai menjamah tubuh kami. Awan gelap mula bersatu menjadi payung alam. Dengan sekelip mata hujan turun mencurah-curah. Kami berteduh di kedai kek dan menyaksikan pengunjung-pengunjung jalan ini yang berlari-lari mencari tempat berteduh. Aku menunujuk ke arah sebuah kedai yang menjual payung dikerumuni ramai orang. Tria mengangguk dan air mukanya kelihatan sedikit gembira. Jalan ini tidak pernah sunyi dari kunjungan dan lawatan. Deretan kedai yang menjual pelbagai cenderamata dan hasil kraftangan menjadikan ianya pusat tumpuan bagi yang berkunjung ke daerah ini. Dahulu kami selalu ke sini, menonton pelbagai ragam manusia, menikmati seni pemandangan dan perasaan yang membawa kami ke dunia lain dari kebiasaan. Di sini ada pelbagai jenis makanan, budaya dan hasil tangan yang tidak didapati di tempat lain. Jika ada pun, harga dan mutu hasil tangannya jauh berbeza. Kami sepakat berlari ke kedai menjual payung dan Tria gembira memilih payung sederhana besar yang disukainya. Hujan semakin lebat.

Aku membuka payung, memeluk bahu Tria agar dekat denganku. Tria seakan kaku, cuma menurut dan meletakkan tangan kirinya di belakang pinggangku. Di bawah payung ini, dengan hujan yang menderas laju kami berjalan seiringan. Saat paling dekat antara tubuhku dan tubuhnya, dengan perasaan mahu melindunginya cuma, dengan kasihku yang masih mendalam aku berdoa kepada Tuhan agar gadis ini tetap tabah dan dipertemukan dengan insan yang lebih baik dariku yang dapat menjaga dan menyayanginya sekali gus mencintainya seikhlas hati. 

Dalam deru hujan yang menggila aku melihat wajahnya dibasahi runtuhan air mata yang sama laju dengan hujan rahmat Tuhan. Tria memeluk pinggangku erat dengan kedua belah tangannya. Aku mengerti, sangat mengerti perasaan gadis ini. Demi Tuhan, aku juga menyayangimu.